Saturday 11 August 2012

Keajaiban Otak Kita Menjangka Apa Yang Akan Berlaku

Assalamualaikum. Salam Ramadhan , bulan mulia yang sudah hampir meninggalkan kita semua sama ada kita menyedarinya atau tidak.



Kisah ini diambil dari sebuah buku motivasi "The Success Principles" karangan Jack Canfield dan Janet Switzer. Topik kecil daripada buku ini iaitu " Kita Dapat Apa Yang Kita Jangka"

Ceritanya bermula begini...

Suatu waktu dahulu, saintis percaya yang manusia memberikan respons kepada maklumat yang dihantar ke otak dari dunia luar. Namun, hari ini mereka tahu yang otak manusia memberikan respons kepada perkara yang akan berlaku berdasarkan pengalaman pada masa lalu.

Sebagai contoh, satu kumpulan doktor di Texas mengkaji kesan pembedahan lutut artroskopi dengan meletakkan pesakit yang menderita sakit lutut di bawah satu daripada prosedur pembedahan iaitu mengikis sendi lutut, membersihkan sendi lutut, ataupun membiarkannya sahaja, tanpa sebarang tindakan.

Semasa pembedahan olok-olok  dengan tiada sebarang tindakan dilakukan, doktor membius pesakit, melakukan tiga insisi ke dalam lutut seolah-olah mahu memasukkan instrumen surgeri dan kemudiannya berpura-pura melakukan pembedahan. Sebaik sahaja 2 tahun selepas pembedahan atau surgeri tersebut, pesakit yang menjalani pembedahan olok2 itu melaporkan kelegaan daripada sakit dan bengkak lutut sama dengan pesakit yang menjalani pembedahan sebenar. Otak kita menjangkakan yang "pembedahan" dapat menyembuhkan lutut yang sakit dan itulah yang terjadi.

Mengapakah otak manusia berfungsi begini? Ahli neuropsikologi yang mengkaji teori jangkaan berkata ini adalah kerana kita menghabiskan masa hidup kita dalam keadaan terlazim (conditioned). Menerusi peristiwa yang berlaku sepanjang hayat kita, otak kita sebenarnya belajar menjangkakan keadaan yang akan berlaku, sama ada ia benar2 berlaku ataupun tidak. Dan , disebabkan otak kita menjangkakan sesuatu akan berlaku dalam cara tertentu, kita sering mendapat apa yang kita duga.

Oleh itu, penting bagi kita menyimpan jangkaan positif (sangkaan baik) dalam minda. Apabila kita menggantikan jangkaan negatif (sangkaan buruk) dengan sangkaan baik, apabila kita mula percaya apa sahaja bukan mustahil, otak kita mula mengambil alih tugas menyempurnakan semua kemungkinan buat kita. Malah lebih baik daripada itu, otak kita mula menjangkakan hasil yang kita duga.

"Apa sahaja yang dapat dibayangkan dan diyakini oleh minda, ia dapat dicapai" Napoleon Hill.

Percayalah otak atau minda kurniaan Allah SWT ini amat hebat kuasanya. Kita sebagai orang Islam hendaklah sentiasa berfikiran positif dan sentiasalah  memohon pertolongan daripada Allah SWT. Kerana hanya Allah SWT yang lebih mengetahui segala-galanya. Ingatlah Allah SWT ketika senang, mudah-mudahan Allah SWT akan membantumu ketika engkau di dalam kesusahan. Ucapkan lah syukur atas setiap nafas yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Hidupku matiku hanya kerana-MU, Ya Allah.

No comments:

Post a Comment